'Jalan Haji Saripin'.
Jikalau anda pernah ke Bentong, mungkin anda akan berjumpa dengan papan tanda nama jalan ini,mungkin juga anda tidak menemuinya. Manakan mahu berjumpa kerana papan tanda nama jalan ini hanyalah nama satu lorong yang melalui kuarters JKR dan juga melalui satu rumah kayu yang tersergam di tengah-tengah jalan ini.Siapakah pemilik rumah kampung kayu yang sudah usang ini? Ya, Haji Saripin adalah pemilik rumah usang ini. Haji Saripin ini merupakan penghulu di kawasan kampung ini pada suatu masa dahulu pada kurun ke-19. Sebenarnya, Haji Saripin ini adalah atuk aku yang kini sudah kembali ke rahmatullah.
Aku tidak sempat untuk merasai kasih sayang seorang atuk. Sehingga kini aku benar-benar ingin mengambil tahu tentang perjuangan yang telah atuk aku lakukan semasa hidupnya. Sedikit sebanyak aku mendengar bahawa atuk aku pernah berhadapan dengan pihak komunis dan hampir ditembak. Sebagai penghulu,pasti banyak yang telah atuk aku usahakan untuk mempertahankan kampungnya.Takpe, buat masa sekarang kita simpan dulu perkara ini. Aku akan cuba mencari tentang atukku. Aku akan cuba.
Berbalik semula kepada papan tanda nama jalan itu. Kebiasaannya nama jalan itu terpahat nama seseorang yang patut dikenang dan yang dihargai perjuangan yang telah dilakukan semasa hidupnya. Persoalannya,adakah atuk aku gembira atas papan tanda yang terpahat namanya itu? Adakah itu yang diinginkannya? Adakah itu yang sangat-sangat diharapkan olehnya apabila telah meninggal dunia?
Jika itulah yang diinginkan oleh atuk aku,jika itulah yang diharapkan sebagai tanda perjuangannya dikenang, pasti atuk aku akan kecewa. Jika dibandingkan usaha-usaha yang dilakukan dengan nama yang terpahat di papan tanda jalan sudah pasti ketidakpuashatian berlaku. Begitu juga apabila kita mengharap kenangan ataupun pembalasan dalam persahabatan, pasti kita akan kecewa. Mengapa? Kerana kita sebagai manusia sentiasa mengharap lebih dari apa yang kita inginkan. Sentiasa tiada rasa puashati dan tiada rasa syukur atas nikmat persahabatan yang diberi.
Refleks kembali dalam diri, apa yang diharapkan sebenarnya setiap kali kita lakukan sesuatu? Pabila kita belajar? Pabila kita menganjurkan sesuatu aktiviti? Glamour? Kredibiliti? Kehebatan? Kenangan? Pujian? Ya Allah, jauhkanlah kami dari terdetik hati kami dengan perasaan-perasaan sebegini. Jauhkanlah kerna ia akan menyebabkan hati ini mendekati dosa dan jatuhnya semangat kami pabila apa yang diharap tidak tercapai.Aku yakin atuk aku tidak mengharap sangat namanya dipahat tetapi usaha-usaha yang dilakukan adalah lebih kepada tanggungjawabnya untuk mempertahankan kawasan kampungnya.Allah lebih mengetahui segalanya.Ya Allah,timbul pula perasaan rindu pada atukku yang tak sempat kukenali ini. haish..
Maka,lebih baik kita beramal atas dasar kerana Allah swt kerna usaha-usaha inilah yang akan dipersoalkan kelak di akhirat. Malah tatkala diri berseorangan ketika itu, pasti kita tetap teguh dalam perjuangan itu jika semuanya kerna Allah swt.Walau diri dicerca, dihina, jika kita berada di landasan yang betul, pasti keretapi tetap terus bergerak tanpa terkandas. Jika terdetik juga di hati perasaan-perasaan yang kotor dan hitam itu, pasti terkandas perjalanan keretapi yang kita naiki.
Betulkan niat kita pabila melakukan sesuatu agar timbul perasaan semangat dalam jiwa walau dilanda dugaan di tengah perjalanan. wallahua'lam.