Monday, March 5, 2012

Bersama Dr Harlina


Namanya sering didengar di media, tak kisah samada media cetak atau elektronik. Saya hanya tahu beliau ini seorang doktor yang dikenali. Mak saya pun pernah menyebut nama beliau.Tidak pernah terfikir untuk berjumpa beliau. Namanya Dr Harlina Halizah Siraj.

Pertemuan Pertama

Namun, Allah telah menemukan kami di tempat yang tidak disangka-sangka, iaitu di Czech Republic, negara tempatku belajar. Kami bertemu pada tahun kedua saya di sana, tahun di mana saya masih bertatih untuk menyesuaikan diri kerana saya adalah di kalangan 'batch' Malaysia pertama yang belajar di bumi bekas komunis ini. Beliau perlu menghadiri 'National Conference' pada masa itu.

Dalam kesibukan beliau menghadiri 'Conference', beliau tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar di sini. Presiden Persatuan Pelajar Czech Republic pada masa itu, telah mengadakan pertemuan itu di salah sebuah apartment pelajar. Dalam pertemuan yang singkat, kata-kata beliau telah berjaya menaikkan semangat kami dalam meneruskan kehidupan sebagai pelajar perubatan di luar negara, yang penuh dengan ujian. Inilah juga pertama kali seorang doktor memberi 'talk' kepada kami.

Seharian Bersamanya

Selama ber'Conference' di Czech, selama itulah hotel disediakan untuk ahli 'Conference'. Namun, Dr Harlina telah meluangkan seharian dan semalaman di rumah kami berenam pada masa itu (Adilah, Alia, Sharifah, saya, Priya dan Amy). Dalam kesibukan beliau dengan urusan lain, beliau tetap mampu mencari masa untuk bersama-sama kami.

.....

Malam itu kami bertaaruf dengan lebih rapat. Bila dengar nama saya, beliau kata, ini kali pertama jumpa nama sama dengannya. Beliau 'sharing' bersama kami dan kami saling bertanya soalan. Kemudian, Dr Harlina mengajak kami menonton satu 'English movie' yang mana saya sudah lupa tajuknya. Tapi ia berkaitan dengan kehidupan doktor-doktor. Kemudian, kami hanyut dibuai mimpi bersama-sama dengan beliau. Semuanya dalam keadaan yang sangat sempoi, tiada formal, tiada segan silu, malah kami rasa Dr Harlina ibarat ibu kami pada masa itu.

.....

Di kala Subuh, kami bersolat jemaah bersama-sama. Sungguh indah perasaan ketika itu berimamkan seorang yang lebih berpengalaman dari kita. Selalunya kami berimamkan sesama kami sahaja.


Kemudian, kami mulakan projek membuat karipap hasil cadangan Dr Harlina. Kami yang sudah lama kempunan kuih Malaysia, sangat gembira bila ada Masterchef yang ingin mengajar kami. Buat kami yang pertama kali berada di luar negara dan tidak tahu lagi kewujudan MyResepi.net, kami bersemangat mencatat resepi. Setelah siap adunan, sama-sama kami letak isi dan kelim. Selama ini, saya banyak kali mencuba untuk kelim tapi tak pernah menjadi, tapi kali ini, Subhanallah, saya berjaya membuat kelim sehinggalah sekarang.

.....

Kemudian, kami makan bersama-sama. Kami yang merindui ibu-ibu di Malaysia sungguh merasai nikmat yang Allah berikan. Nikmat kasih sayang Dr Harlina kepada kami, ibarat kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Alhamdulillah.

Akhirnya, Dr Harlina perlu pulang ke hotel dan 'Conference' beliau. Sebelum pulang, beliau mengambil nombor telefon rumah kami di Malaysia. Urm...

Telefon

Setiap minggu saya akan menelefon mak saya di Malaysia. Seperti biasa, kami berborak-borak. Kali ini suara mak bernada terkejut dan bangga. Terkejut katanya sebab Dr Harlina Siraj telefon dia.

' Harlina (saya) sihat-sihat sahaja di Czech Republic, dia dah pandai kelim karipap di sana, ' kata Dr Harlina kepada mak saya di gagang telefon. Mereka bertanya khabar dan 'update' tentang saya di sini. Gembira sungguh hati mak saya.

Dr Harlina juga telefon ibu-ibu 'housemates' saya yang lain, dan semuanya gembira dengan panggilan telefon Dr Harlina.

Cenderamata

Tahun berikutnya, secara terkejut, Alia(housemate saya) bertemu lagi dengan Dr Harlina di program NISA di Malaysia. Dr Harlina menyampaikan salamnya pada 'housemates' Alia dan menyebut nama seorang demi seorang tanpa Alia menyebutnya. Subhanallah, sungguh kuat daya ingatannya. Kami juga mendapat cenderamata ikhlas setiap seorang dari Dr Harlina.

Mampu

Beliau seorang yang sungguh diketahui kesibukannya. Seorang doktor, ibu, pendakwah, isteri dan macam-macam lagi. Namun, masih sempat menelefon keenam-enam ibu kami hanya untuk bertanya khabar dan menceritakan keadaan kami kepada mereka yang tengah risau akan kami di sini. Beliau juga bersama-sama kami seharian hanya untuk menjadi 'ibu sementara' kepada kami. Beliau juga ingat nama-nama kami dan memberi cenderamata kepada kami. 3 tindakan beliau ini mengusik jiwa saya.

Selain itu, sikap beliau yang rendah diri juga dikagumi. Beliau sangat peramah, mudah mesra dan sederhana membuatkan kami mudah untuk melayan beliau di rumah kami. Tiada rasa segan dengan beliau kerana beliau tidak mahu pun kami melayannya seakan-akan orang terhormat kerana yang membezakan kita hanyalah di mata pandang Allah, bukan manusia.

...

Terfikir sejenak, bila mana saya menjadi sibuk kelak dengan kerjaya, keluarga dan dakwah, adakah saya mampu melakukan sepertimana yang Dr Harlina lakukan? Mudah-mudahan, kita semua dapat melakukannya kerana itu semua adalah akhlak yang mulia dan sebahagian dari dakwah kita.


Artikel ini bukanlah ingin mengagung-agungkan Dr Harlina, tapi lebih kepada 'sharing' pengalaman saya bersamanya dahulu. Moga ada hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil dari sikap setiap personaliti yang kita jumpai. InsyAllah.