Diri
Kita sudah percaya bahawa kebahagiaan itu bukan datang dari luar atau dari sekeliling. Bahagia itu datang dari diri kita sendiri. Seringkali kita mendengar bacaan Surah Asy- Syams di masjid-masjid semasa solat berjemaah. Tatkala diperdengarkan ayat 9-10, hati terdetik untuk bermuhasabah.
...sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." Asy-Syam: 9-10.
Tazkiyyah
Membersihkan hati atau tazkiyyah adalah tunjang utama dalam melahirkan kebahagiaan dalam diri. Hati yang tenang mampu memberikan kebahagiaan. Walau miskin hati gembira dan senyuman sering terlakar. Walau dihimpit pelbagai masalah, ia dapat dihadapi dengan berhikmah.
Namun, hati yang rosak mampu memberi kebinasaan. Kekayaan yang melimpah akan dirasa ketidaktenteraman. Ilmu yang tinggi dirasa sebagai bebanan.
Didikan
Membersihkan hati perlu dididik dan dilatih. Tidak akan datang tanpa usaha yang berterusan. Yang penting ia perlulah berlandaskan Islam. Iman dan taqwa mampu dipupuk melalui proses pendidikan yang berterusan. Dekatkanlah hati kita dengan Allah swt, pasti ketenangan akan hadir dengan sendiri.
Yang hakiki
Dari dalam diri kitalah yang mencorakkan luaran diri kita. Baik di dalam, baiklah di luar. Terserlahlah kebahagiaan melalui raut wajah yang bersinar-sinar dengan keimanan. Walau diri tidak dianugerahkan raut wajah yang cantik oleh pandangan mata manusia, namun sinar cahaya iman itu mampu menutup segala aset-aset yang hanya sementara. Dan yang paling penting, pandangan mata Allah swt lebih bermakna dari pandangan mata manusia.
Alangkah bahagianya hidup jika diri kita dan orang-orang di sekeliling kita sentiasa merasai nikmat kebahagiaan itu...
"Kebahagiaan itu
adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dihayati,
adalah kelapangan dada kerana prinsip yang menjadi pedoman hidup,
dan ketenangan hati kerana kebaikan semata di sekeliling kita"
petikan dari buku La Tahzan oleh Dr Aidh al-Qarni.