Tuesday, November 29, 2011

Saya Ibarat Air


Sifat air

Indah sungguh air ciptaan Allah. Sifatnya yang bersih, jernih malah menyucikan.
Pejamlah mata,hayatilah bunyian air terjun yang deras, pasti diri hanyut dalam keindahan.
Bila ingin mencari ketenangan, akan saya mencari pantai dan merenungi jauh ke arah lautan yang luas tiada penghujung.
Air juga menyegarkan bila dahaga, membantu jasad ini untuk terus hidup dan hidup selagi Allah tidak menarik nyawa.
Air yang mengalir membantu menghidupkan yang lain. Tanaman di kawasan berhampiran air pasti hidup subur. Manusia juga akan berkumpul di kawasan berdekatan air. Akhirnya, wujudlah penempatan yang cantik. Itulah kuasa air.

Namun, air yang deras tiada hala tuju mampu membawa bencana. Mampu merangkus semua kehidupan tak kira apa. Tsunami dan banjir, dua bencana dari Allah yang tidak mampu kita tolak.

Air yang bertakung dan tiada gerakan juga mampu membawa kepada keburukan. Pasti air itu bertukar warna malah serangga-serangga mula membiak dan menjadi busuk. Lebih buruk, ia akan membawa kepada pelbagai penyakit yang membawa maut.
Saya ibarat air..

Saya mahu menjadi air yang tenang, yang mengalir dan bergerak. Air seperti ini akan memberikan senyuman pada semua orang. Kebahagiaan orang lain akan memberikan kebahagiaan pada diri sendiri. Saya mahu mengalir sentiasa, bergerak tanpa kenal henti. Bergerak membuat ibadah, bergerak membantu orang lain, bergerak dalam beramal dan bergerak dalam bekerja apa sahaja untuk Allah.

Saya tidak mahu, malah elakkan dari menjadi seperti air yang bertakung yang akan membawa keburukan kepada orang lain. Air yang tidak bergerak akan melemahkan diri sendiri. Bila tiada amalan, tiada bekalan untuk kehidupan di dunia malah bekalan untuk akhirat juga kosong begitu sahaja. Air yang terlalu deras tanpa arah tuju juga, akan membinasakan orang lain. Jika tiada arah tuju, pasti sesat dari jalan kebenaran.

Semoga saya dapat menjiwai air yang tenang dan sentiasa mengalir itu, supaya saya dan orang lain mendapat kebahagiaan yang sama.