Cerita Doktor Saya
Disebabkan pihak kerajaan bertanggungjawab terhadap kebajikan orang-orang tua. Maka, anak-anak mereka berlepas tangan sambil mengatakan "Kerajaan ada untuk menjaga mereka".
Makcik Tua
Ada seorang makcik yang berjiran di depan rumah saya selalu keluar untuk ke supermarket, makcik ini akan berehat menarik nafas yang dalam setelah berjalan hanya 5-6 langkah sahaja.
Monolog hati saya bertanya, Di mana anak-anak mereka? Mungkin salah satu jawapannya, ' Tiada, semuanya sibuk dengan kerjaya masing-masing'.
Kita Jua Akan Seperti Mereka
Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Tuhanku! Sayangilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil (Al-Isra' : 24)
Ingatlah, ibu bapa kita sungguh ikhlas dan tidak mengharapkan pengorbanan untuk mendidik kita dari kecil. Tapi mengapa, sukar untuk kita melakukan perkara yang sama kepada mereka.
Di dalam pemeriksaan fizikal Neurologi, salah satunya adalah melakukan pemeriksaan 'reflex'. Jika di masa kecil, 'suckling reflex' dan ' grasp reflex' adalah normal, namun di masa tua jika seseorang ada 'dementia' atau hilang upaya kognitif, akan ada juga refleks yang sama sebagaimana di masa bayi.
Begitulah Allah sudah tentukan yang kita akan kembali berada dalam keadaan seakan bayi. Namun, keadaan berbeza, ramai yang ingin melayan bayi tapi tidak ramai yang ingin melayan ibu bapa yang mula kembali kepada 'sifat2 bayi'.
Moga kita sentiasa mendoakan ibu bapa kita. Sentiasalah bertanya khabar kepada mereka dan cuba menjaga hatinya dengan baik. Untuk menjadikan diri kita sebagai harta untuk ibu bapa kita kelak, jadilah anak yang soleh dan solehah. Soleh dan solehah kerana Allah swt.