Friday, June 25, 2010

Tidur Selepas Asar




Assalamualaikum wbt,

Teringat dulu kisah-kisah semasa di tahun satu perubatan di sini. Kelas boleh dikatakan padat bermula jam 8pagi hingga ke 5 petang selangi dengan beberapa selang waktu rehat selama 15 minit setiapnya.

Dan kebiasaannya, pulang ke rumah akan terus tergolek di atas katil selama sejam, recharge energy untuk waktu yang efektif malamnya bagi mengulangkaji.

Baru-baru ni timbul persoalan mengenai tidur selepas asar hukumnya makruh, boleh jadi gila dan sebagainya. Mungkin ada kesannya dari segi kajian perubatan yang saya sendiri tidak tahu. Mungkin rakan-rakan pembaca boleh berkongsi sekiranya ada maklumat.

Terdapat satu kata-kata yang selama ini ramai diantara kita yang menganggapnya sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan. Ianya ialah hadis palsu. Ini seperti apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu al-Jauzi, Al-Sayuthi dan juga Al-Zahabi.

((من نام بعد العصر ، فاختُلس عقله، فلا يلومنَّ إلا نفسه)).

Barangsiapa yang tidur selepas Asar maka akan terganggulah akalnya. Maka
janganlah dia mencela melainkan kepada dirinya sendiri.

(Ibnu al-Jauzi di al-Maudhu'aat, al-Sayuthi di al-la'ali al-Masnu'ah & al-Zahabi di Tartib al-Maudhu'aat)(1)

Mungkin tidur selepas asar ada keburukan sekiranya boleh dibuktikan, akan tetapi tiada hadis sahih menyebutkan tentang hal ini. Jadi, hati-hati lah kita pada masa akan datang dalam menyandarkan sesuatu kepada nabi SAW.

Rujukan:
(1): 100 HADIS DHA'IF DAN PALSU YANG MASYHUR DI KALANGAN MASYARAKAT dihimpunkan oleh Syeikh Ihsan bin Muhamad bin 'Ayis al-Utaibi.

Friday, June 18, 2010

Syarat Syahadah






Assalamualaikum wbt,

Entah kenapa, tiba-tiba tergerak hati untuk menyumbang seposen dua dalam blog ni. Moga ianya bermanfaat walaupun sikit.

iALLAH saya ingin berkongsi sedikit berkenaan syahadah kita..

Dalam huraian hadis ke 3 daripada hadis 40 Imam Nawawi, syahadah mempunyai 7 syarat (Dr Jamal Ahmed Badi). Di antaranya yang sebutkan ialah PENGETAHUAN yang membolehkan pengucap syahadah memahami apa maksud disebalik ucapan syahadah tersebut.

Timbul difikiran saya akan hakikat sebahagian besar muslim pada hari ini. Adakah mereka benar-benar memahami makna sebenar di sebalik syahadah mereka, atau hanya sekadar ucapan setiap kali waktu solat dan waktu-waktu lainnya tanpa diikuti dengan penghayatan.

Sekiranya benar memahami maksudnya, mana mungkin mereka ingkar akan suruhan Allah dalam kehidupan seharian? Mengapa boleh terjadi seperti laporan Jabatan Pendaftaran Negara, statistik pada tahun 1999-2003 menunjukkan 44% kelahiran anak luar nikah berketurunan Melayu beragama Islam.ish ish ish..sedihnya betul mendengarnya..


Sekiranya tidak faham, apakah sah ucapan syahadahnya?

Saya terus-menerus memikirkannya, pada masa yang sama memuhasabah diri yang sangat serba kekurangan ini..

Wallahua'lam.

Sunday, June 6, 2010

Tanpa Usaha, Tiada Ajaib

Kata Imam Ghazali Rahimahullah :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibadahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaitan dan tipuannya’. - [Bidayatul Hidayah]

"Ya Allah, berilah kami kefahaman dalam agama",bisik hati kecil ini sebelum memulakan pembacaan. Tak kisahlah samada buku yang dibaca itu buku medik atau buku agama. Doa di permulaan sangat mempengaruhi diri dalam memotivasikan diri dan juga menentukan niat sepanjang pembacaan.

Semoga ilmu-ilmu yang dipelajari ini diberkati olehNya. Bak kata status YM sahabatku Zilla, "Hargailah segala proses dan usaha tanpa memikirkan hasilnya". Yang penting kita tahu, Allah menghitung segala usaha-usaha. Segala usaha itu dihitung berdasarkan niat.

Tanpa usaha, keajaiban tidak akan berlaku.

Dalam sibuk menelaah, yang penting Al-Quran tetap pilihan utama setiap hari kita. InsyAllah.