Tuesday, November 29, 2011

Saya Ibarat Air


Sifat air

Indah sungguh air ciptaan Allah. Sifatnya yang bersih, jernih malah menyucikan.
Pejamlah mata,hayatilah bunyian air terjun yang deras, pasti diri hanyut dalam keindahan.
Bila ingin mencari ketenangan, akan saya mencari pantai dan merenungi jauh ke arah lautan yang luas tiada penghujung.
Air juga menyegarkan bila dahaga, membantu jasad ini untuk terus hidup dan hidup selagi Allah tidak menarik nyawa.
Air yang mengalir membantu menghidupkan yang lain. Tanaman di kawasan berhampiran air pasti hidup subur. Manusia juga akan berkumpul di kawasan berdekatan air. Akhirnya, wujudlah penempatan yang cantik. Itulah kuasa air.

Namun, air yang deras tiada hala tuju mampu membawa bencana. Mampu merangkus semua kehidupan tak kira apa. Tsunami dan banjir, dua bencana dari Allah yang tidak mampu kita tolak.

Air yang bertakung dan tiada gerakan juga mampu membawa kepada keburukan. Pasti air itu bertukar warna malah serangga-serangga mula membiak dan menjadi busuk. Lebih buruk, ia akan membawa kepada pelbagai penyakit yang membawa maut.
Saya ibarat air..

Saya mahu menjadi air yang tenang, yang mengalir dan bergerak. Air seperti ini akan memberikan senyuman pada semua orang. Kebahagiaan orang lain akan memberikan kebahagiaan pada diri sendiri. Saya mahu mengalir sentiasa, bergerak tanpa kenal henti. Bergerak membuat ibadah, bergerak membantu orang lain, bergerak dalam beramal dan bergerak dalam bekerja apa sahaja untuk Allah.

Saya tidak mahu, malah elakkan dari menjadi seperti air yang bertakung yang akan membawa keburukan kepada orang lain. Air yang tidak bergerak akan melemahkan diri sendiri. Bila tiada amalan, tiada bekalan untuk kehidupan di dunia malah bekalan untuk akhirat juga kosong begitu sahaja. Air yang terlalu deras tanpa arah tuju juga, akan membinasakan orang lain. Jika tiada arah tuju, pasti sesat dari jalan kebenaran.

Semoga saya dapat menjiwai air yang tenang dan sentiasa mengalir itu, supaya saya dan orang lain mendapat kebahagiaan yang sama.

Thursday, October 20, 2011

Taubat Serlahkan Potensi


Lemah

' Tak pandai la nak bercakap depan org ramai'.

'Pandainya dia memberi tazkirah, sedap telinga mendengar, terasa rendah diri ini'.
Inilah ungkapan-ungkapan seorang manusia yang sentiasa merendah diri. Tidak percaya pada diri sendiri.

Potensi

Semua manusia pasti ada potensi diri. Allah pasti mencipta makhlukNya dengan potensi-potensi kerana manusia inilah yang akan menjaga amanah-amanah yang telah ditawarkan dan hanya manusia yang sanggup menampungnya.

Taubat

Bagaimana nak timbulkan potensi ini?

' Bersihkanlah hati ini dengan perbanyakkan taubat, agar tersingkap potensi sebenar kita yang terhalang dek dosa-dosa kita yang bertimbun',kata-kata dari seorang kakak yang bergelar naqibah.

Apa-apa pun masalah yang dihadapi, jalan penyelesaiannya pasti berbalik juga kepada Allah swt. Banyakkanlah bertaubat. Taubat yang paling mudah dan segera adalah beristighfar. Istighfarlah kita bila mana terasa ada dosa di dalam diri.

Jangan dikumpul dosa-dosa ini, kerana daripada dosa sekecil zarah, jika dikumpulkan pasti terbentuk juga dosa-dosa seperti satu bahan yang teguh.

Astaghfirullahal'azim.



Saturday, July 9, 2011

Taman Syurga


Kisah Aku

Banyak tahun sudah aku berada di bumi Prague ini. Pelbagai kisah terindah yg kunikmati. Dalam banyak-banyak kisah terindah itu, kali ini kunukilkan kisah terindahku yang pasti menjadi memori. Apa dia?

Inilah dia.

Bermula di bilik 111 di Troja ( hostel pertama aku di bumi Czech). Kemudian, diteruskan di surau Troja. Ada juga secara online melalui Paltalk dari bumi United Kingdom dan Ireland.

Sahabat-sahabat tetap memberi sokongan dalam merealisasikan kisah ini. Ku sungguh teruja.

Kisah ini diteruskan di Apartment 4 Karlovo Namesti. Di taman Vystaviste juga terselit kisah kami bersama. Tak dilupakan juga, kami ber'picnic'di Vysehrad, Petrin Hill dan juga di tepi sungai Vltava berdekatan Prague Castle. Pelbagai tempat telah kami redahi.


Vltava River, Prague

Juga berlaku di rumah-rumah di Narodni Trida, semua Apartment di Karlovo Namesti, di Jana Masaryka, di Vysehrad, di Ostrcilovo Namesti,di Stepanska, di Americka, di Belgicka dan juga rumahku di Spytihnevova.

Pernah juga kami bersama-sama di taman berdekatan rumahku. Bermain 'basketball', bola tampar bersama-sama.

Bukan itu sahaja, kedai-kedai makan turut kami kuasai. Yang paling 'famous' kami pergi adalah 'Coffee Heaven' di Praha 1.

Paling penting, nostalgia ini tetap tersemat di Centre Mosque, Cerny Most Mosque dan juga Hradec Kralove Mosque.

Indahnya kisah aku ini. Indah kerana aku dapat berkongsi bersama-sama dengan sahabat semua. Apakah ia?

Usrah/Keluarga

Sabda Rasulullah s.a.w:
”Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah” Para sahabat bertanya:”Apakah itu taman syurga?”Jawab baginda:”Majlis Zikir.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Majlis Zikir atau Majlis Ilmu atau Usrah boleh diertikan bersama. Pelbagai tempat telah aku dan sahabat redahi untuk berusrah. Tak kisahlah di mana sahaja kamu berusrah atau memberi ilmu, ia tetap digelar taman syurga oleh Rasulullah.

Mohon keberkatan dariNya.

Inilah kisah-kisah setiap minggu aku. Cuba untuk menghadiri majlis ilmu dan cuba untuk membuat majlis ilmu itu. Jom kawan-kawan semua, di mana sahaja kita jumpa taman syurga itu, harapnya kita dapat singgah padanya.



Monday, June 6, 2011

Mahu Kepada Mampu

"eyh, ko dah nak kawen dah? bukan ko tak habis belajar lagi ke?" tanya seorang rakan dengan nada agak terkejut.
"aah, alhamdulillah..jodoh aku awal." balas ku ringkas.
"..ko ni, bukan ke JPA bagi duit untuk belajar, ko gi kawen plak....duit pon kerajaan bagi, tak mampu nak cari sendiri, ni kan plak nak tanggung anak orang..."

Hmmmm.....
Kadang kala perbualan begini sedikit sebanyak mengganggu 'mood' perkahwinan dan membuatkan anda bertanya semula "mampu ke aku nak kawen time belajar ni?". Anda bagaimana?

Alhamdulillah saya sendiri dan bakal isteri telah pon sepakat dengan keputusan yg kami buat ini.

insyALLAH kami ingin kongsi apa yang disebut oleh Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah. Beliau berpesan dalam Bab Anjuran Untuk Berkawin,

"Terkadang ada orang yang ragu-ragu untuk kahwin, kerana sangat takut memikul beban berat dan menghindarkan diri dari kesulitan-kesulitan. Islam memperingatkan bahawa dengan kahwin, Allah akan memberikan kepadanya penghidupan yang cukup, menghilangkan kesulitan-kesulitan dan diberikannya kekuatan yang mampu mengatasi kemiskinan."

Firman Allah SWT.
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui". (An-Nuur:32)

Moga tarbiyah, peringatan dan janji-janji Allah terus menimbulkan MAHU, agar kami dapat menuju MAMPU.

MAMPU itu perlu diusahakan, ia tidak datang menyembah menyerah diri.

Semoga perkahwinan diusia muda, di alam persekolahan menjadikan kami seorang pelajar di Fakulti Kesabaran, Universiti Kehidupan. Kami harapkan ianya sebagai jalan mendekatkan diri padaMu Ya Allah. Ameen.

Doa dari kalian terus menerus kami harapkan. Jazakumullahu Khairan Kathira.

NOTE: Ditulis oleh Abu Khaulah sebelum kami berkahwin. Share semula untuk semua.

Wednesday, March 9, 2011

Seruan


Allah SWT Maha Pencipta, Maha Sempurna. Sempurnanya Allah sungguh luas, begitu juga dengan segala ciptaanNya tak terkecuali manusia.

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا
“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu
iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (al-Furqan:2)

Bilamana berlabuhnya tirai malam, pasti akan terbitnya siang. Matahari silih berganti bersama bulan memainkan peranannya. Panasnya 'summer' nanti akan ada sejuknya 'winter', indahnya musim bunga akan luruh jua di waktu 'autumn'. MasyaALLAH, indahnya dan tersusun rapi aturan ciptaan Allah yang Maha Sempurna.

Hidup pasti akan mati walaupun kebanyakan membencinya, pasang berkawan dengan surut, hitam pula berlawan dengan putih, LELAKI dan PEREMPUAN bagaimana pula?? jawab jgn tak jawab..... =)

Lumrah dan fitrah manusia yang berkeinginan untuk berkeluarga adalah salah satu tanda kesempurnaan ciptaan dan aturan alam oleh Allah. DIA mengharamkan zina, lalu memberikan alternatif perkahwinan. Perkahwinan adalah pengikat cinta di gerbang redhaNya. Sungguh, Allah SWT Maha Adil atas segalanya.


Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya diciptakanNya untukmu pasangan hidup dari jenismu sendiri supaya kamu mendapat ketenangan hati dan dijadikanNya kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda kebesaranNya bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum:21)

Cinta dan kasih sayang bukanlah sekadar kurniaan nikmat di dunia malah ia adalah umpama satu seruan untuk kita bercinta sampai ke syurga.....

Friday, January 7, 2011

Pohon Tak Berdaun


Suci Murni

Musim sejuk sudah lama menyapa kita. Kesejukan yang dialami sudah mula diadaptasi. Setiap hari bangun pagi, pabila menjenguk ke jendela, diri disambut dengan keputihan salji yang meneraburi bumi. Kegembiraan paling terasa pabila salji turun di awal pagi. Begitu indah, suci murni dan nyaman dirasa.

Setelah berhemah diri, saya seiringan bersama suami mengharungi salji yang lebat ke kelas. Sambil itu, kami sama-sama meratapi "snowflakes" yang terhasil di pakaian tebal masing-masing. Subhanallah, sungguh indah ciptaanMu ya Allah. Pelbagai bentuk yang ditemui hanya dari butir-butir ais yang sama.

Pohon

Sepanjang perjalanan ke madrasah ilmu, mata kami tidak terlepas pandang pada pokok-pokok. Pokok-pokok yang tidak berdaun, semuanya luruh semenjak musim luruh lagi. Yang tinggal hanyalah batang dan ranting-ranting yang putih disaluti salji. Boleh diibaratkan seperti pokok yang sudah mati, yang sudah tiada lagi harapan untuk hidup.


Namun, bila musim sejuk berakhir dan musim bunga menerjah. Pokok-pokok yang sudah dianggap mati itu kembali mengeluarkan daun dan bunga. Kembali hidup dengan cantik dan subur sekali. Subhanallah, sungguh hebat ciptaanMu ya Allah.

Kami berfikir sejenak.

Anggapan

Sebagai seorang daie atau khalifah di muka bumi ini, kita tidak boleh lari dari tanggungjawab kita untuk menyampaikan agama Allah kepada seluruhnya. Orang yang didakwahi atau orang yang ingin kita sampaikan kemanisan Islam dikenali sebagai mad'u.

Dalam konteks diri kita sekarang, kita semua adalah daie dan kita juga adalah mad'u. Ia saling berkaitan dan putaran itu tetap berputar tetap.

Sebagai daie, kita jangan mudah membuat anggapan. Bila seorang mad'u tu adalah seorang wanita Islam tetapi berpakaian tidak sopan, suka membuat maksiat dan sentiasa ke "pub-pub" hiburan, adakah kita akan mendekatinya?

Ataupun mad'u itu seorang lelaki Islam tetapi berperwatakan ganas, memakai subang dan minum arak. Apa tanggapan kita pada mereka?

Sudah tentu pada awalnya, kita akan membuat anggapan bahawa mereka ini tiada harapan langsung untuk kita bawa mereka ke arah merasai iman yang manis itu. Dalam hati pasti terfikir, buang masa sahaja nak dakwah orang-orang seperti mereka ini.

Ingat kembali kisah Umar al Khattab. Pada masa jahiliyyah, beliau seorang yang paling keras menentang Islam dan memusuhi Rasulullah saw. Namun, bila kefahaman Islam sampai kepadanya, beliau menjadi seorang sahabat yang sangat hebat dalam dakwahnya. Hebat pada masa jahiliyyahnya, malah menjadi lebih hebat pabila nur Islam mewarnai dirinya.

Oleh itu, mad'u- mad'u yang dianggap tiada harapan itu boleh diibaratkan seperti pokok-pokok yang seakan-akan mati itu. Anggaplah dan haraplah serta berdoalah agar mereka juga seperti pokok-pokok yang seperti sudah mati itu namun sebenarnya hidup malah menjadi lebih cantik dan subur setelah musim sejuk itu berakhir.

Berdoalah dan berusahalah agar nur Islam akan berada di hati-hati mereka dan kita pula jangan pula berputus asa dalam usaha dakwah kita kepada mereka.

Permudahkanlah dan ikhlaskan hati kita dalam kita bekerja untuk Dia Yang Esa.