Musim sejuk sudah lama menyapa kita. Kesejukan yang dialami sudah mula diadaptasi. Setiap hari bangun pagi, pabila menjenguk ke jendela, diri disambut dengan keputihan salji yang meneraburi bumi. Kegembiraan paling terasa pabila salji turun di awal pagi. Begitu indah, suci murni dan nyaman dirasa.
Setelah berhemah diri, saya seiringan bersama suami mengharungi salji yang lebat ke kelas. Sambil itu, kami sama-sama meratapi "snowflakes" yang terhasil di pakaian tebal masing-masing. Subhanallah, sungguh indah ciptaanMu ya Allah. Pelbagai bentuk yang ditemui hanya dari butir-butir ais yang sama.
Pohon
Sepanjang perjalanan ke madrasah ilmu, mata kami tidak terlepas pandang pada pokok-pokok. Pokok-pokok yang tidak berdaun, semuanya luruh semenjak musim luruh lagi. Yang tinggal hanyalah batang dan ranting-ranting yang putih disaluti salji. Boleh diibaratkan seperti pokok yang sudah mati, yang sudah tiada lagi harapan untuk hidup.
Namun, bila musim sejuk berakhir dan musim bunga menerjah. Pokok-pokok yang sudah dianggap mati itu kembali mengeluarkan daun dan bunga. Kembali hidup dengan cantik dan subur sekali. Subhanallah, sungguh hebat ciptaanMu ya Allah.
Kami berfikir sejenak.
Anggapan
Sebagai seorang daie atau khalifah di muka bumi ini, kita tidak boleh lari dari tanggungjawab kita untuk menyampaikan agama Allah kepada seluruhnya. Orang yang didakwahi atau orang yang ingin kita sampaikan kemanisan Islam dikenali sebagai mad'u.
Dalam konteks diri kita sekarang, kita semua adalah daie dan kita juga adalah mad'u. Ia saling berkaitan dan putaran itu tetap berputar tetap.
Sebagai daie, kita jangan mudah membuat anggapan. Bila seorang mad'u tu adalah seorang wanita Islam tetapi berpakaian tidak sopan, suka membuat maksiat dan sentiasa ke "pub-pub" hiburan, adakah kita akan mendekatinya?
Ataupun mad'u itu seorang lelaki Islam tetapi berperwatakan ganas, memakai subang dan minum arak. Apa tanggapan kita pada mereka?
Sudah tentu pada awalnya, kita akan membuat anggapan bahawa mereka ini tiada harapan langsung untuk kita bawa mereka ke arah merasai iman yang manis itu. Dalam hati pasti terfikir, buang masa sahaja nak dakwah orang-orang seperti mereka ini.
Ingat kembali kisah Umar al Khattab. Pada masa jahiliyyah, beliau seorang yang paling keras menentang Islam dan memusuhi Rasulullah saw. Namun, bila kefahaman Islam sampai kepadanya, beliau menjadi seorang sahabat yang sangat hebat dalam dakwahnya. Hebat pada masa jahiliyyahnya, malah menjadi lebih hebat pabila nur Islam mewarnai dirinya.
Oleh itu, mad'u- mad'u yang dianggap tiada harapan itu boleh diibaratkan seperti pokok-pokok yang seakan-akan mati itu. Anggaplah dan haraplah serta berdoalah agar mereka juga seperti pokok-pokok yang seperti sudah mati itu namun sebenarnya hidup malah menjadi lebih cantik dan subur setelah musim sejuk itu berakhir.
Berdoalah dan berusahalah agar nur Islam akan berada di hati-hati mereka dan kita pula jangan pula berputus asa dalam usaha dakwah kita kepada mereka.
Permudahkanlah dan ikhlaskan hati kita dalam kita bekerja untuk Dia Yang Esa.
2 comments:
subhanallah~
jazakillah kak..
sgt best bila dpt berfikir begitu bila melihat alam..
smoga thabat!
waiyyaki rusnarusli
same goes to u ...
Post a Comment