Sunday, March 1, 2009

Sejauh manakah 'concern' kita dalam ikhtilat?

'Diharapkan ikhtilat dapat dijaga sepanjang program yang berlangsung ini' pesanan dari penganjur program kepada para peserta.
(Apa itu ikhtilat? Ikhtilat boleh ditafsirkan sebagai percampuran. Percampuran di sini membawa erti pergaulan antara lelaki dan perempuan)

'Percakapan antara lelaki dan perempuan hendaklah dibatasi dengan menjarakkan diri sejauh 2 meter'. Teringat saya semasa berada di zaman sekolah menengah, di kala jiwa dan fikiran masih mentah.

Berdasarkan di atas, kita sentiasa ditekankan untuk menjaga pergaulan sesama berlainan jantina yang bukan mahram.Allah memang sudah berfirman supaya lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. (Rujuk An-Nur 30-31). Maka, kita semua ini yang sudah berjanji bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah perlulah merealisasikan apa yang Allah perintahkan.

Tanpa kita sedari, mungkin ada orang-orang yang tergolong dalam konsep anta-anti, batasan pergaulan sentiasa ditekankan terutamanya ketika bermesyuarat dalam persatuan atau dalam pelaksanaan program-program tertentu. Tetapi apabila di luar dunia anta-anti pula contohnya seperti di universiti atau di kalangan saudara-mara, seringkali kita terlepas pandang tentang ikhtilat.

Di universiti, mengikut waqi' di sini, Czech Republic, kita dikelilingi sahabat-sahabat dari US,UK,Cyprus dan etc. Saya bagi satu situasi yang berlaku semasa kelas 'Surgery' di hospital.Kami akan melawat pesakit-pesakit bersama doktor dan juga melihat pembedahan semasa di kelas ini.

Suatu hari, kami perlu masuk ke 'Operation Theatre', seperti yang diketahui oleh semua pelajar-pelajar perubatan terutama di luar negara, untuk memasuki 'Operation Theatre', semua baju perlu ditukar ke pakaian yang disterilkan dan tudung perlu dicabut dan diganti dengan 'head cover'. Pakaian steril mereka pula agak seksi dan memang tidak menutup aurat di bahagian tangan dan leher.

Semasa di minggu yang pertama, ada seorang lelaki Malaysia yang Muslim dalam kelas kami, betapa segannya kami pelajar perempuan sebab pakaian yang mendedahkan aurat. Kemudian, pada minggu hadapannya pula, pelajar lelaki Malaysia yang Muslim itu tidak hadir dan kali ini hanya ada lelaki UK yang bukan Muslim sahaja. Kemudian ada yang berkata ' Nasib baik si fulan(lelaki Malaysia yang Muslim) tak datang, tak laa segan sangat, lelaki-lelaki UK ni takpe laa'.

Kamu semua nampak tak apa yang berlaku dalam situasi di atas. Tanpa kita sedari kita membezakan antara lelaki Malaysia dan lelaki UK padahal kedua-dua lelaki ini adalah BUKAN MAHRAM kita. Kedua-duanya mempunyai nafsu dan tergolong dalam golongan yang boleh berkahwin dengan kita. Sepatutnya, kita perlu sedar yang aurat kita, pergaulan kita dan batasan juga perlu dijaga dengan sahabat-sahabat 'international' yang berlainan jantina dengan kita sama seperti kita menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat seIslam kita.


Terdapat juga situasi di mana apabila kita bercakap dengan lelaki yang boleh dikategorikan sebagai alim, perasaan segan akan timbul dan secara tak langsung diri akan mengingatkan supaya jaga pandangan dan pergaulan. Lain pula bila kita bercakap dengan lelaki yang biasa-biasa, semua perkara tentang batasan pergaulan seolah-olah hilang. Mungkin tidak semua orang seperti ini tapi saya sekadar bagi situasi yang mungkin tanpa kita sedari berlaku dalam diri kita.Tak kisah samada perempuan kepada lelaki atau lelaki kepada perempuan. Vice versa.

Kesimpulannya,sebagaimana kita menjaga pergaulan dengan sahabat-sahabat seIslam kita yang berlainan jantina begitu juga kita perlu menjaga pergaulan dengan sahabat kita yang bukan Islam yang berlainan jantina. Begitu juga tiada diskriminasi antara sahabat seIslam yang alim,biasa-biasa atau hu-ha. Tiada perbezaan di sini dan harap sama-sama kita cuba muhasabah diri kita dalam hal ini. Saya menulis untuk peringatan diri saya juga dan juga untuk cuba memberi manfaat kepada sahabat-sahabat yang saya sayangi. WA.





No comments: