Saturday, December 11, 2010

Orang Czech Semakin Memahami


Podoli Hospital

Sistem

2 bulan lagi saya bakal melahirkan anak di Hospital Podoli. Hospital yang sangat dikenali dengan kepakaran dalam bidang "obstetric and gynecology" ini. Alhamdulillah, saya diterima untuk melahirkan anak di sini walaupun agak terlewat mendaftar di hospital ini.

Sistem di sini yang pada awalnya (dalam trimester pertama kandungan) akan dilaksanakan pemeriksaan di klinik. Kemudian barulah perlu mendaftar di hospital-hospital yang diminati untuk melahirkan anak. Jadi, dalam 2 bulan terakhir ini, saya bakal mula diperiksa di hospital Podoli bukan lagi di klinik seperti sebelum ini.

Kefahaman

"Do you want to be examine by woman doctor or man doctor?" jururawat di Podoli Hospital bertanya kepada saya.

Dengan pantas saya menjawab "I want to be examine by woman doctor".

Tanpa perlu meminta, jururawat telah bertanya soalan yang paling penting untuk saya sebagai seorang muslimah yang ingin menjaga batas aurat di bumi asing ini. Saya perlu mencari doktor perempuan di sini kerana tiadanya doktor muslim di sini.

Saya sangat bersyukur kerana masih ada masyarakat di negara Czech Republic ini yang memahami kami yang beragama Islam ini. Walaupun mereka telah dijajah oleh Komunis suatu masa dulu, masih ada yang memahami keperluan kami sebagai muslim di sini.

Dulu dan Sekarang

Pada awal kehadiran saya di negara ini. Masyarakat Muslim agak kurang disini, kehadiran kami dari Malaysia sangat membawa persepsi yang berbeza kepada mereka. Agak kurang senyuman dan jelingan tajam sentiasa ada.

Jika kita mengambil tahu hal sejarah Islam kita, Czech Republic ini adalah sebuah negara yang pernah ditakluki oleh kerajaan Turki Uthmaniyah, di mana pada masa itu sistem khalifah masih ada di bumi ini. Namun pada awal kehadiran saya di sini, negara ini seolah-olah seperti tidak pernah disentuh oleh Islam walhal sejarah dulu mereka pernah ditakluk oleh sistem khalifah Islam.

Namun, setelah 4 tahun saya di sini, pandangan masyarakat di Czech Republic ini sudah mula berubah. Jelingan tajam sudah berkurang dan senyuman sudah mula terlakar terhadap kami. Malah ada yang ingin mengambil tahu tentang kami. Mungkin kefahaman mereka tentang kami telah mengubah persepsi mereka,walaupun hanya minoriti. Namun, saya masih bersyukur. Moga seluruh rakyat Czech berpeluang memahami Islam sebaiknya.




Tuesday, December 7, 2010

PengHIJRAHan


Innama al-a’maalu binniyyat..

Hari ini, tanggal 7 Disember merupakan hari tahun baru mengikut kalendar islam. Sudah pasti 1431 hijrah meninggalkan kita dengan seribu satu sejarah, samada baik atau pun sebaliknya dan disambut pula dengan 1432 hijrah yang penuh harapan dan impian.

Masing-masing dari kita sudah pasti menyimpan 1001 azam untuk terus maju kehadapan. Tidak kira pembaikan dari segi pelajaran, pengurusan diri dalam kehidupan seharian, hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan, sikap, akhlak dan lain-lain lagi. Mungkin bagi mereka yang berada di bidang perniagaan, sudah pasti ingin perniagaanya bertambah maju. Bagi seorang pelajar, serba serbi kekurangan dalam pelajarannya akan cuba dibaiki. Begitulah manusia yang merasai dirinya sentiasa perlu dibaiki.

Niat kerana Allah.

Biarlah apa pun pembaikan yang ingin kita lakukan, ingatlah pada pesan Nabi kita Muhammad SAW akan niat. Hijrah dijadikan contoh oleh baginda dalam menghuraikan akan kepentingan niat dalam setiap amalan. Seperti mana sabda baginda:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku

mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Kita boleh sahaja berhijrah, tetapi niat mesti tetap kerana Allah. Justeru, setiap perkara yang kita buat perlu tetap dan teguh tujuannya kerana Allah agar setiap langkah kita diberkatiNya, setiap keputusan yang dibuat dibimbing hidayahNya dan setiap masalah dan halangan dihadapi dengan sabar tanpa melupakanNya.


Moga tahun baru hijrah memberikan seribu erti buat kita semua. Moga ianya menjadi pemangkin untuk kita terus maju menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1432H.

Wallahua’lam.