Thursday, March 3, 2016

Padlock Cinta di Bumi Kristal

"Padlock" Cinta 

"Love Lock" atau "Love Padlock" adalah kunci mangga yang diletakkan di jambatan, pagar atau pintu sebagai simbolik kepada cinta mereka. Terkenal di negara Eropah termasuk Prague. Nama pasangan akan ditulis dan mangga akan diketip, kunci kepada mangga tersebut akan dibuang jauh sebagai simbolik cinta kekal atau "unbreakable love". 

Simbolik cinta kekal?






Cinta "At First Sight"

Tahun pertama di Charles Universiti berlalu begitu sahaja tanpa bicara.Sungguh tak sangka, di awal tahun kedua, si lelaki mula menyampaikan hasrat melalui orang tengah. Si perempuan yang sudah menjadi rutin beristikharah meneruskan istikharahnya sehingga merasakan keyakinan dalam jiwa. 

*istikharah=solat untuk memohon petunjuk dari Allah

Mula menerima untuk diteruskan ke peringkat seterusnya. Sama-sama berkenalan lebih mendalam ditemani pasangan yang sudah berkahwin. Perbualan dipenuhi kejujuran. Kelebihan dan kekurangan kedua-duanya ditulis telus oleh beberapa rakan baik. Masing-masing meneruskan istikharah setelah taaruf dan istisyarah. Hati mula membulatkan tekad untuk menerima seadanya bakal pasangan hidup dunia akhirat. 

*taaruf= berkenalan, istisyarah= meminta pandangan orang lain

Keluarga mengizinkan tanpa kekangan. Semasa khitbah, diskusi perkahwinan diteruskan dengan adanya orang tengah, agar diskusi hanya berbicara tentang keperluan.Alhamdulillah tanggal akhir bulan Julai, dua jiwa bersatu setelah akad dilafaz. Ya,setelah itu, diri telah dimiliki, tanggungjawab dirasai dan harapan menyinari.

*khitbah=tunang

Kasih ibu kepada anak 

Melahirkan anak buat pertama kali tanpa ibu bapa di sisi sinonim di sini. Walau masih berpantang, si ibu tetap menguatkan diri menuju ke hospital kerna anak memerlukan pemerhatian yang lebih kerana lahir kurang matang. Setiap hari bergerak perlahan-lahan ke hospital untuk menghantar susu ibu buat anak tercinta.

Berat beban di jiwa melihat anak dipenuhi wayar dan saluran tiub penuh di badan. Runtun hati seorang ibu melihat anak berada dalam kesakitan. Anak itu tidak mampu menyuarakan rasa sakitnya, hanya bertawakal pada yang Esa atas kesihatan dirinya.

Tawakal yang tinggi 

Kegagalan dalam peperiksaan sudah menjadi kebiasaan ujian belajar di Czech Republic. Tidak tidur malam mengulangkaji pelajaran, cuba menghafal teori-teori perubatan. Namun, tanpa kebergantungan yang kuat pada Allah pada hari peperiksaan, tidak lengkap usaha itu. Kadang-kadang punca kegagalan itu hanya kerana mood profesor yang tidak baik, terlupa satu jawapan, terlalu gelabah hingga terkedu. Tanpa tawakal pada Allah, manusia akan hanyut.



Cinta Hakiki

Makna 'Love Padlock' bagi masyarakat tempatan Czech hanyalah pada cinta sesama manusia. Tapi, buat kita yang bernama Muslim, 'Love Padlock' kami yang bermaksud cinta yang takkan hilang, adalah cinta dan kasih sayang Allah kepada hambaNya; menyatukan cinta sesama manusia dengan cara yang halal, pengorbanan ibu kepada anak tanpa bayaran dan kebergantungan hati yang kuat kepada Pencipta bila dilanda ujian.

Aku amat merindui jiwa dan suasana di Prague yang penuh dengan nikmat cinta. 



No comments: