Saturday, October 24, 2009

Formula (Pendapatan - Simpanan= Perbelanjaan)

Hilang

'Macam mana ni kak? Kejap je duit dah habis..Tak sedar mana pergi..Tup tap tup tap, berkurang dah angka-angka di bank saya ni..haih..,' keluh adikku di Prague ni.

'Agaknya kami makan mewah kot kak, suka beli baju2 dan jalan2..' keluh seorang lagi adik.

Perlu

Makanan, pakaian dan berjalan2 adalah keperluan. Cuma mungkin jangan keterlaluan. Tiada masalah nak berjalan2 sebab dari situlah kita dapat timba pelbagai pengalaman dan pengetahuan.

Peluang belajar di luar negara inilah membuka mata kita dengan lebih luas. Membuka mata untuk belajar berdikari dan menguruskan diri dengan baik termasuk pengurusan kewangan kita..ke mana wang kita pergi yer??


'Sharing is caring'

Semasa tahun pertama, kakak ipar saya ada memberi tips simple untuk menguruskan wang.

Bahagikan duit bulanan yang kita dapat kepada 3 bahagian mengikut 'percentage' atau ratio iaitu PERBELANJAAN, KECEMASAN dan SIMPANAN.

PERBELANJAAN kiranya perbelanjaan setiap bulan kita seperti sewa rumah, makanan, pakaian, pengangkutan dan sebagainya.

KECEMASAN pula seperti duit ubat bila demam, kena bayar denda tak bawa 'transport pass' ke atau pon berjalan2 ke luar Prague atau luar Czech.

SIMPANAN pula duit yang memang tak boleh disentuh dah. Kalo duit input bulanan 800 Euro dan kita tetapkan simpanan 100 Euro kiranya duit yang bole kita guna hanyalah 700 Euro.

Contohnya:

Duit input bulanan : 800 Euro

Jadi

perbelanjaan : 500 Euro
kecemasan : 200 Euro
simpanan : 100 Euro

12 bulan : 100 Euro * 12 = 1200 Euro setahun utk SIMPANAN. (kekadang bole lebih lagi sbb tak semestinya duit perbelanjaan dan duit kecemasan kita akan digunakan sampai habis, tp 'amount' 1200 Euro ni dikira minimum duit yang perlu disimpan dalam bank).

Kita boleh laa simpan duit ni dlm bank tetap kita utk simpanan masa depan tak kisah laa bank kat Czech ataupon kat Malaysia. Saya lebih senang menyimpan di bank di Malaysia. Boleh juga melabur di bank Malaysia untuk memperkembangkan lagi duit itu.

Alhamdulillah saya aplikasikan cadangan kakak ipar saya. Membuka mata saya utk menyimpan semenjak tahun pertama universiti lagi.

Jadi, formulanya simple jer ..Pendapatan-Simpanan = Perbelanjaan...senang kan??..Cubalah yang mudah ini dulu..insyAllah..



Mata duitan ke? Keduniaan?

Sibuk je fikir pasal uruskan duit. urm..adakah kita terlalu keduniaan?. Tak fikir pasal akhirat ke?

Islam itu menyeluruh. Semuanya ada Islam. Pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan seluruh kehidupan kita. Dalam perancangan kewangan Islam, Allah adalah PEMILIK harta yang mutlak, kita sebagai manusia adalah PEMEGANG AMANAH. Sebagai pemegang amanah, kita perlulah menjaga amanah kita dengan sebaik2nya,bukanlah terlalu boros dan bukanlah terlalu kikir. Begitu baik sekali Hajah Rohani dalam buku 'KE MANA WANG ANDA?' membetulkan persepsi orang Islam tentang definisi harta.

Keinginan saya untuk belajar menguruskan kewangan semakin meninggi pabila saya sudah mendirikan rumahtangga. Buku 'KE MANA WANG ANDA?' sudah dibaca. InsyAllah sama2 kita berusaha menjadi pemegang amanah Allah dengan sebaiknya. info ke mana wang anda?

Saturday, October 10, 2009

Moga tenang di sana

Tenang

Tenang ketika berjalan2 di Muzeum pagi tadi. Masuk kedai yang tak pernah masuk. Seronok jugak 'explore' kedai baru. Melihat ibu dan si anak membaca peta utk ke destinasi mereka. Orang yang berpakaian coat 'shopping' di C&A. Nampak kelibat budak Malaysia yg tergesa2. Tak sempat bertegur sapa. Macam2 org di kawasan yang 'hectic' itu. Namun fikiran saya sungguh tenang hari ini.

Kesabaran

Berita kematian pak cik saya pagi tadi saya terima dengan tenang. Sudah 4 bulan pakcik menanggung sakit. Dia sakit tibi. Sukar bernafas, bergantung pada tangki oksigen utk bernafas. Dia terbaring di rumah. Badannya sangat kurus. Setiap kali habis tangki oksigen, anaknya yang menukar tangki oksigen yg ketinggiannya sama dengannya di hospital.

Makcik saya sungguh tabah dan sabar menjaga suami yang disayanginya. Suapkan makanan, mandikannya, bawanya ke tandas setiap kali utk membuang air. Jika makcik tiada di depan mata pakcik, pasti pakcik memanggil2 makcik. Tidak mahu berpisah walaupun sebentar.

Mereka juga ada berselisih sikit2. Al maklumlah, si pakcik inginkan perhatian si makcik. Si makcik pula sedang diuji kesabaran utk menjaga suami yang sakit.

'Ingat Mak Teh yer nana, jangan lupa Mak Teh di sini,' pesan makcik saya semasa hari raya.

Sabar yer makcik, kesabaran kamu insyAllah dinilai oleh Allah swt.

Airmata

Saya sempat menjenguk pakcik saya sebanyak 3 kali. Kali pertama di hospital sebelum saya berkahwin. Masih saya ingat pakcik menitiskan airmata. Pakcik banyak membantu semasa saya bertunang. Dia rasa sebak tidak dapat hadir dan membantu untuk majlis kahwin saya.

'Takpe pakcik, jangan sedih. Sabar yer,' saya menenangkannya. Saya menahan tangisan, tidak mahu dia nampak saya menangis.

Solat

2 kali lagi jumpa di rumahnya. Doktor memberi kebenaran untuknya pulang. Kali ketiga adalah pada hari raya ke-2 dan juga kali terakhir buat saya.

' Belajar rajin2 di luar negara. Jadi doktor yang bagus. Yang penting jangan tinggal solat. Jaga solat , jaga solat,' pesan pakcik.

Sungguh, hubungan dengan Allah jangan kita lupa supaya hubungan sesama manusia juga dapat dipelihara.

Tolak ansur

'Jangan gaduh2 sesama suami isteri, tolak ansur selalu,' tambahnya lagi buat saya dan suami yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Nasihat yang simple tapi penuh makna. Tolak ansur sangat penting sebab skop keluarga makin luas. Hati suami, hati mertua, hati ibubapa sendiri, hati adik beradik, hati adik beradik ipar dan hati sahabat2 perlu dijaga.

Terima kasih pakcik. Akan saya ingat nasihatmu itu. Sungguh kuat jiwamu melalui masa sakit selama berbulan2. Moga Allah tempatkanmu bersama orang-orang yang beriman. Moga kamu tenang di sana. Al-fatihah..

Tuesday, July 7, 2009

Perjalanan


Alhamdulillah segala exam2 saya sudah selesai buat masa ini..selepas ini akan meneruskan lagi perjuangan untuk tahun berikutnya..semoga dipermudahkan..

Maaf sangat2 kerna dah lama tak update blog ni. Post kali ni pon pendek jer. Sekadar nak update serba sedikit bagi sahabat2 yang tertanya2.=)

Sekarang ini saya disibukkan pula dengan urusan-urusan untuk majlis perkahwinan saya nanti, insyAllah pada 25 Julai 2009 dan 2 Ogos 2009 ni..moga segalanya diberkati olehNya..

Jemput lawat ke blog kami di sini ... http://yaqzanfiryal.blogspot.com/

Tadi baru sahaja baca blog sahabat..nak share pengalaman sahabat saya ni mengajar di sekolah tahfiz..sejuk hati lihat anak2 ini, saya paling tersentuh dgn kisah ayat pemurah dlm artikel kawan saya ni..jom baca klik di sini

Selamat meneruskan perjuangan buat semua shbt2, tak kisah laa yang masih exam,yg dh abis exam atau yg dah di Malaysia. Setiap titik hidup kita ini adalah perjuangan..kuatkan semangat..




Saturday, May 30, 2009

All the best...


Selamat bermujahadah kepada semua!!!!....buat sahabat2 di Prague,Hradec,Olomouc serta di seluruh dunia yang akan menghadapi exam...


"Apabila sedar bahawa diri adalah hamba milik Allah,segala yang menimpa adalah dalam pengetahuan dan pemeliharaan Allah,maka tiada istilah resah bagi yang menyerahkan segalanya pada Allah" 



Istiqamah dalam berdoa,Istiqamah dalam berusaha,Istiqamah dalam bertawakal....Teruskan berjuang!!!....All the best!!!


(p/s: Exam : 2 June,5 June dan 11 June 2009)


Salam sayang dari wardatul shauqah@zinnirah 


Thursday, May 7, 2009

Tips Hilang Penat dari Rasulullah saw

Selalu tak rasa penat? Penat untuk masak, penat untuk belajar, penat untuk buat solat sunat. Penat dalam segala hal. Pasti ada kan?




Kasihannya budak kecil kacak ini, penat sampai tertidur di lantai masjid.



Ada petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawar kepada kepenatan. Jom baca sama-sama!!..


Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."


Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu.


Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur,bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."



Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anaknya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah s.a.w.ini.Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."


Maka dicadangkan kepada kita sebagai pelajar yang selalu sahaja merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian dan belajar, supaya mengamalkannya.Ini adalah tips dari Rasulullah.Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman. InsyaAllah.



"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"(Sabda Rasulullah SAW)".




Jom kita share tips hilang kepenatan ini dengan semua orang. Setelah kita tahu tentang tips ini, moga kita dapat amalkannya dengan istiqamah sebagaimana Saidina Ali. Selamat berjuang dan semoga kita kuat dalam segalanya.



........Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izinNya........

Wednesday, April 15, 2009

PUTARAN Dalam Diri


TANGISAN


Malam yang tenang. Irama lagu 'Aku MencintaiMu' nyanyian EdCoustic seiring dengan renungan mendalam mataku ke luar jendela.

Hatiku kelam. Jiwaku kosong.

'Aku dah penat. Aku sangat penat,' aku merintih. Sudah kering airmata ini untuk keluar. Dah tak mampu aku untuk menangis lagi,walaupun diri ini masih ingin meneruskan tangisan.

Aku tak nak dipandang rendah.Aku tak mahu orang melihat aku tidak kuat. Telah aku cuba untuk tidak menangis, tetapi itu sahajalah cara aku supaya segala kekuatan itu kembali semula.

Seiring dengan tangisan,pasti ada kata-kata semangat yang keluar dari mulut orang-orang yang prihatin. Alhamdulillah ada yang masih mampu melayan kerenah aku yang tak sudah-sudah menangis. Penat untuknya mendengar permasalahan yang sama dan memberi nasihat yang sama. Memang penat.

Nasihat yang diberi memang sangat bermakna. Namun, apabila teori-teori yang diberi cuba diaplikasi dalam dunia realiti. Sangat sukar. Memang sukar. Payah.

PUTARAN

Sudah bertahun aku mencuba. Berkali-kali aku cuba mengatasinya, kadang-kadang aku berjaya,tapi selalunya aku tak berjaya.

Bila sudah berjaya,bersemangat untuk mencuba lagi. Namun, yang seterusnya selalu tak berjaya semula. Dan akhirnya, diri jatuh semula. Menangis,menangis dan terus menangis. Kata-kata semangat kembali berlingkar di telinga.Dan diri berusaha mencuba untuk bangkit semula dari kejatuhan tadi. Putaran ini berterusan.

PENAT

Memang penat. Sangat penat. Penat untuk semua orang. Penat untuk orang yang menangis dan penat untuk orang yang sentiasa membantu.



Bila putaran ini dapat dihentikan? Bilakah? Jika putaran itu pada permasalahan yang berbeza. Aku boleh menerimanya. Namun, permasalahan ini adalah masalah yang sama setelah bertahun-tahun hidup di dunia ini, semenjak kecil lagi tapi langsung tiada peningkatan.

Trauma yang dialami sepanjang hidup kerana kurangnya keyakinan dalam diri ini masih tidak dapat aku lupakan. Gelak-tawa orang, pandangan sinis dan muka kekecewaan orang masih bermain di fikiran. Pandangan sinis inilah yang membuat aku berterusan kurang keyakinan. Selalu sangat aku berfikir tentang fikiran orang lain sehingga membantutkan apa yang aku ingin lakukan atau sampaikan.

Masalah ini memang perlu ditangani supaya kehidupan menjadi lebih baik. Tapi, sampai bila putaran ini akan berputar? Aku sangat penat. Aku betul-betul penat.

KATA TAMBAHAN

"Sahabat-sahabat diperlukan sebagai sokongan. Tetapi,masalah dalam diri hanya mampu diatasi dengan kekuatan dalam empunya badan sendiri. Jika kita yang mendayung sampan, maka kita sahajalah yang patut bertanggungjawab meneruskan pendayungan sampan itu sehingga ke tepian" ............

Wednesday, April 1, 2009

Apabila doktor bertemu arkitek


'Apa yang menarik sangat tentang gambar yang awak ambil tu?' saya bertanya sebab pelik.

'Nampak tak kereta-kereta dan tram lalu di bawah bangunan tu,bukankah unik di situ.' jawabnya dengan tersenyum puas setelah menangkap gambar yang unik itu.


'Saya nampak ramai orang yang berjalan di atas Charles Bridge tu?' tanya Zaff.

'Aah,memang Charles Bridges hanya laluan untuk pejalan kaki sahaja.Salah satu laluan untuk ke kawasan Charles Castle.Pemandangan malamnya sangat indah, saya suka ke Charles Bridge waktu malam. Memang tak terkata keindahannya,Zaff.' semangat saya memberi sedikit gambaran tentang 'bridge' yang dikenali ramai itu.



Tibalah kami di Charles Bridge..

'Lorr,apsal awak tak cakap ada pelukis-pelukis jalanan dan jualan hasil-hasil kraf di atas 'bridge' ni?,Zaff bersuara.

Saya terdiam dan tersenyum malu. Saya tak teringat langsung tentang ada pelukis yang melukis di situ. Mungkin 'lupa' bukanlah alasan yang baik tapi alasan yang sebenar adalah kerana pelukis-pelukis dan seni mereka ini bukanlah satu perkara penting dalam diri saya.


Lama kami berhenti melihat perempuan ini melukis lukisan untuk pelanggannya yang mempercayai kemampuan seninya.

'Bagaimana kalau tiada orang yang hendak membeli hasil mereka ini? Mesti sedihkan?' saya bertanya.

'Sedih kerana hasil kreativiti tidak dihargai itu satu perkara,tapi satu perkara lagi yang paling penting adalah kepuasan dalam diri setelah melihat hasil tangan sendiri telah siap,' jawab Zaff dengan penuh emosi.





'Mata inilah bahagian yang paling penting dalam sesuatu lukisan. Jika matanya nampak 'real' sama seperti tuannya, sudah mampu untuk menutup kecacatan lain dalam lukisan' kata Zaff yang bakal 'graduate' bulan 7 ini dalam bidang arkitek.

'Untuk melukis memerlukan unsur keberanian. Berani untuk menonjolkan kreativiti yang ada dalam diri. Berani untuk mengunakan kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik terbaru untuk menyerlahkan lagi lukisan-lukisan. Berani untuk mencuba sesuatu yang baru. Bagus untuk memdedahkan anak-anak kita nanti untuk berlatih melukis sejak kecil bagi mewujudkan unsur berani dan kreativiti ini'.

Lama kami menghayati segala seni-seni yang ada di atas jambatan itu. Setiap gambar dan hasil kraf akan Zaff bagi pandangannya. Zaff tidak putus-putus mengambil gambar lukisan-lukisan dan juga bangunan. Katanya,' Seorang arkitek mendapat ilham untuk sesebuah bangunan adalah melalui gambar-gambar'.

Teringat saya semasa berjalan dengan Capeq,kawan baik saya,mengambil jurusan perubatan,di lokasi yang sama. Kami langsung tak tengok orang-orang yang melukis di atas jambatan itu. hehe


Dancing building yang cukup dikenali satu dunia. Aku mendengar pandangan Zaff dari dunia arkiteknya tentang struktur bangunan ini. Menarik..

Bila masuk kedai cenderamata,bukan cenderamata yang dilihat tapi 'design dalaman' kedai itu. Haih, tergelak saya.

Setelah berjalan-jalan dengan sahabat yang mengambil bidang yang jauh berbeza dari dunia perubatan ni,InsyaAllah,skop pemikiran menjadi luas. Seni-seni lukisan, sketching, struktur-struktur bangunan, bagaimana penghasilan sesebuah bangunan mula saya hargai.

InsyaAllah menampakkan lagi kepada kita tentang dunia luar selain dunia perubatan sahaja. Dalam dunia perubatan pun ada seninya juga. -peace-


Catatan Zaffan semasa pertemuan kami di Praha..
KLIK : PRAHA:SATU PERASAAN


Sunday, March 1, 2009

Sejauh manakah 'concern' kita dalam ikhtilat?

'Diharapkan ikhtilat dapat dijaga sepanjang program yang berlangsung ini' pesanan dari penganjur program kepada para peserta.
(Apa itu ikhtilat? Ikhtilat boleh ditafsirkan sebagai percampuran. Percampuran di sini membawa erti pergaulan antara lelaki dan perempuan)

'Percakapan antara lelaki dan perempuan hendaklah dibatasi dengan menjarakkan diri sejauh 2 meter'. Teringat saya semasa berada di zaman sekolah menengah, di kala jiwa dan fikiran masih mentah.

Berdasarkan di atas, kita sentiasa ditekankan untuk menjaga pergaulan sesama berlainan jantina yang bukan mahram.Allah memang sudah berfirman supaya lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. (Rujuk An-Nur 30-31). Maka, kita semua ini yang sudah berjanji bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah perlulah merealisasikan apa yang Allah perintahkan.

Tanpa kita sedari, mungkin ada orang-orang yang tergolong dalam konsep anta-anti, batasan pergaulan sentiasa ditekankan terutamanya ketika bermesyuarat dalam persatuan atau dalam pelaksanaan program-program tertentu. Tetapi apabila di luar dunia anta-anti pula contohnya seperti di universiti atau di kalangan saudara-mara, seringkali kita terlepas pandang tentang ikhtilat.

Di universiti, mengikut waqi' di sini, Czech Republic, kita dikelilingi sahabat-sahabat dari US,UK,Cyprus dan etc. Saya bagi satu situasi yang berlaku semasa kelas 'Surgery' di hospital.Kami akan melawat pesakit-pesakit bersama doktor dan juga melihat pembedahan semasa di kelas ini.

Suatu hari, kami perlu masuk ke 'Operation Theatre', seperti yang diketahui oleh semua pelajar-pelajar perubatan terutama di luar negara, untuk memasuki 'Operation Theatre', semua baju perlu ditukar ke pakaian yang disterilkan dan tudung perlu dicabut dan diganti dengan 'head cover'. Pakaian steril mereka pula agak seksi dan memang tidak menutup aurat di bahagian tangan dan leher.

Semasa di minggu yang pertama, ada seorang lelaki Malaysia yang Muslim dalam kelas kami, betapa segannya kami pelajar perempuan sebab pakaian yang mendedahkan aurat. Kemudian, pada minggu hadapannya pula, pelajar lelaki Malaysia yang Muslim itu tidak hadir dan kali ini hanya ada lelaki UK yang bukan Muslim sahaja. Kemudian ada yang berkata ' Nasib baik si fulan(lelaki Malaysia yang Muslim) tak datang, tak laa segan sangat, lelaki-lelaki UK ni takpe laa'.

Kamu semua nampak tak apa yang berlaku dalam situasi di atas. Tanpa kita sedari kita membezakan antara lelaki Malaysia dan lelaki UK padahal kedua-dua lelaki ini adalah BUKAN MAHRAM kita. Kedua-duanya mempunyai nafsu dan tergolong dalam golongan yang boleh berkahwin dengan kita. Sepatutnya, kita perlu sedar yang aurat kita, pergaulan kita dan batasan juga perlu dijaga dengan sahabat-sahabat 'international' yang berlainan jantina dengan kita sama seperti kita menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat seIslam kita.


Terdapat juga situasi di mana apabila kita bercakap dengan lelaki yang boleh dikategorikan sebagai alim, perasaan segan akan timbul dan secara tak langsung diri akan mengingatkan supaya jaga pandangan dan pergaulan. Lain pula bila kita bercakap dengan lelaki yang biasa-biasa, semua perkara tentang batasan pergaulan seolah-olah hilang. Mungkin tidak semua orang seperti ini tapi saya sekadar bagi situasi yang mungkin tanpa kita sedari berlaku dalam diri kita.Tak kisah samada perempuan kepada lelaki atau lelaki kepada perempuan. Vice versa.

Kesimpulannya,sebagaimana kita menjaga pergaulan dengan sahabat-sahabat seIslam kita yang berlainan jantina begitu juga kita perlu menjaga pergaulan dengan sahabat kita yang bukan Islam yang berlainan jantina. Begitu juga tiada diskriminasi antara sahabat seIslam yang alim,biasa-biasa atau hu-ha. Tiada perbezaan di sini dan harap sama-sama kita cuba muhasabah diri kita dalam hal ini. Saya menulis untuk peringatan diri saya juga dan juga untuk cuba memberi manfaat kepada sahabat-sahabat yang saya sayangi. WA.





Tuesday, January 20, 2009

'Jalan Haji Saripin'

'Jalan Haji Saripin'.

Jikalau anda pernah ke Bentong, mungkin anda akan berjumpa dengan papan tanda nama jalan ini,mungkin juga anda tidak menemuinya. Manakan mahu berjumpa kerana papan tanda nama jalan ini hanyalah nama satu lorong yang melalui kuarters JKR dan juga melalui satu rumah kayu yang tersergam di tengah-tengah jalan ini.

Siapakah pemilik rumah kampung kayu yang sudah usang ini? Ya, Haji Saripin adalah pemilik rumah usang ini. Haji Saripin ini merupakan penghulu di kawasan kampung ini pada suatu masa dahulu pada kurun ke-19. Sebenarnya, Haji Saripin ini adalah atuk aku yang kini sudah kembali ke rahmatullah.

Aku tidak sempat untuk merasai kasih sayang seorang atuk. Sehingga kini aku benar-benar ingin mengambil tahu tentang perjuangan yang telah atuk aku lakukan semasa hidupnya. Sedikit sebanyak aku mendengar bahawa atuk aku pernah berhadapan dengan pihak komunis dan hampir ditembak. Sebagai penghulu,pasti banyak yang telah atuk aku usahakan untuk mempertahankan kampungnya.Takpe, buat masa sekarang kita simpan dulu perkara ini. Aku akan cuba mencari tentang atukku. Aku akan cuba.

Berbalik semula kepada papan tanda nama jalan itu. Kebiasaannya nama jalan itu terpahat nama seseorang yang patut dikenang dan yang dihargai perjuangan yang telah dilakukan semasa hidupnya. Persoalannya,adakah atuk aku gembira atas papan tanda yang terpahat namanya itu? Adakah itu yang diinginkannya? Adakah itu yang sangat-sangat diharapkan olehnya apabila telah meninggal dunia?

Jika itulah yang diinginkan oleh atuk aku,jika itulah yang diharapkan sebagai tanda perjuangannya dikenang, pasti atuk aku akan kecewa. Jika dibandingkan usaha-usaha yang dilakukan dengan nama yang terpahat di papan tanda jalan sudah pasti ketidakpuashatian berlaku. Begitu juga apabila kita mengharap kenangan ataupun pembalasan dalam persahabatan, pasti kita akan kecewa. Mengapa? Kerana kita sebagai manusia sentiasa mengharap lebih dari apa yang kita inginkan. Sentiasa tiada rasa puashati dan tiada rasa syukur atas nikmat persahabatan yang diberi.

Refleks kembali dalam diri, apa yang diharapkan sebenarnya setiap kali kita lakukan sesuatu? Pabila kita belajar? Pabila kita menganjurkan sesuatu aktiviti? Glamour? Kredibiliti? Kehebatan? Kenangan? Pujian? Ya Allah, jauhkanlah kami dari terdetik hati kami dengan perasaan-perasaan sebegini. Jauhkanlah kerna ia akan menyebabkan hati ini mendekati dosa dan jatuhnya semangat kami pabila apa yang diharap tidak tercapai.Aku yakin atuk aku tidak mengharap sangat namanya dipahat tetapi usaha-usaha yang dilakukan adalah lebih kepada tanggungjawabnya untuk mempertahankan kawasan kampungnya.Allah lebih mengetahui segalanya.Ya Allah,timbul pula perasaan rindu pada atukku yang tak sempat kukenali ini. haish..

Maka,lebih baik kita beramal atas dasar kerana Allah swt kerna usaha-usaha inilah yang akan dipersoalkan kelak di akhirat. Malah tatkala diri berseorangan ketika itu, pasti kita tetap teguh dalam perjuangan itu jika semuanya kerna Allah swt.Walau diri dicerca, dihina, jika kita berada di landasan yang betul, pasti keretapi tetap terus bergerak tanpa terkandas. Jika terdetik juga di hati perasaan-perasaan yang kotor dan hitam itu, pasti terkandas perjalanan keretapi yang kita naiki.

Betulkan niat kita pabila melakukan sesuatu agar timbul perasaan semangat dalam jiwa walau dilanda dugaan di tengah perjalanan. wallahua'lam.