Saturday, December 11, 2010

Orang Czech Semakin Memahami


Podoli Hospital

Sistem

2 bulan lagi saya bakal melahirkan anak di Hospital Podoli. Hospital yang sangat dikenali dengan kepakaran dalam bidang "obstetric and gynecology" ini. Alhamdulillah, saya diterima untuk melahirkan anak di sini walaupun agak terlewat mendaftar di hospital ini.

Sistem di sini yang pada awalnya (dalam trimester pertama kandungan) akan dilaksanakan pemeriksaan di klinik. Kemudian barulah perlu mendaftar di hospital-hospital yang diminati untuk melahirkan anak. Jadi, dalam 2 bulan terakhir ini, saya bakal mula diperiksa di hospital Podoli bukan lagi di klinik seperti sebelum ini.

Kefahaman

"Do you want to be examine by woman doctor or man doctor?" jururawat di Podoli Hospital bertanya kepada saya.

Dengan pantas saya menjawab "I want to be examine by woman doctor".

Tanpa perlu meminta, jururawat telah bertanya soalan yang paling penting untuk saya sebagai seorang muslimah yang ingin menjaga batas aurat di bumi asing ini. Saya perlu mencari doktor perempuan di sini kerana tiadanya doktor muslim di sini.

Saya sangat bersyukur kerana masih ada masyarakat di negara Czech Republic ini yang memahami kami yang beragama Islam ini. Walaupun mereka telah dijajah oleh Komunis suatu masa dulu, masih ada yang memahami keperluan kami sebagai muslim di sini.

Dulu dan Sekarang

Pada awal kehadiran saya di negara ini. Masyarakat Muslim agak kurang disini, kehadiran kami dari Malaysia sangat membawa persepsi yang berbeza kepada mereka. Agak kurang senyuman dan jelingan tajam sentiasa ada.

Jika kita mengambil tahu hal sejarah Islam kita, Czech Republic ini adalah sebuah negara yang pernah ditakluki oleh kerajaan Turki Uthmaniyah, di mana pada masa itu sistem khalifah masih ada di bumi ini. Namun pada awal kehadiran saya di sini, negara ini seolah-olah seperti tidak pernah disentuh oleh Islam walhal sejarah dulu mereka pernah ditakluk oleh sistem khalifah Islam.

Namun, setelah 4 tahun saya di sini, pandangan masyarakat di Czech Republic ini sudah mula berubah. Jelingan tajam sudah berkurang dan senyuman sudah mula terlakar terhadap kami. Malah ada yang ingin mengambil tahu tentang kami. Mungkin kefahaman mereka tentang kami telah mengubah persepsi mereka,walaupun hanya minoriti. Namun, saya masih bersyukur. Moga seluruh rakyat Czech berpeluang memahami Islam sebaiknya.




Tuesday, December 7, 2010

PengHIJRAHan


Innama al-a’maalu binniyyat..

Hari ini, tanggal 7 Disember merupakan hari tahun baru mengikut kalendar islam. Sudah pasti 1431 hijrah meninggalkan kita dengan seribu satu sejarah, samada baik atau pun sebaliknya dan disambut pula dengan 1432 hijrah yang penuh harapan dan impian.

Masing-masing dari kita sudah pasti menyimpan 1001 azam untuk terus maju kehadapan. Tidak kira pembaikan dari segi pelajaran, pengurusan diri dalam kehidupan seharian, hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan, sikap, akhlak dan lain-lain lagi. Mungkin bagi mereka yang berada di bidang perniagaan, sudah pasti ingin perniagaanya bertambah maju. Bagi seorang pelajar, serba serbi kekurangan dalam pelajarannya akan cuba dibaiki. Begitulah manusia yang merasai dirinya sentiasa perlu dibaiki.

Niat kerana Allah.

Biarlah apa pun pembaikan yang ingin kita lakukan, ingatlah pada pesan Nabi kita Muhammad SAW akan niat. Hijrah dijadikan contoh oleh baginda dalam menghuraikan akan kepentingan niat dalam setiap amalan. Seperti mana sabda baginda:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku

mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Kita boleh sahaja berhijrah, tetapi niat mesti tetap kerana Allah. Justeru, setiap perkara yang kita buat perlu tetap dan teguh tujuannya kerana Allah agar setiap langkah kita diberkatiNya, setiap keputusan yang dibuat dibimbing hidayahNya dan setiap masalah dan halangan dihadapi dengan sabar tanpa melupakanNya.


Moga tahun baru hijrah memberikan seribu erti buat kita semua. Moga ianya menjadi pemangkin untuk kita terus maju menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1432H.

Wallahua’lam.



Sunday, September 26, 2010

Bahagia Dalam Diri


Kesinambungan dari post yang lalu "Bahagia umpama kupu-kupu".

Diri

Kita sudah percaya bahawa kebahagiaan itu bukan datang dari luar atau dari sekeliling. Bahagia itu datang dari diri kita sendiri. Seringkali kita mendengar bacaan Surah Asy- Syams di masjid-masjid semasa solat berjemaah. Tatkala diperdengarkan ayat 9-10, hati terdetik untuk bermuhasabah.

...sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." Asy-Syam: 9-10.

Tazkiyyah

Membersihkan hati atau tazkiyyah adalah tunjang utama dalam melahirkan kebahagiaan dalam diri. Hati yang tenang mampu memberikan kebahagiaan. Walau miskin hati gembira dan senyuman sering terlakar. Walau dihimpit pelbagai masalah, ia dapat dihadapi dengan berhikmah.

Namun, hati yang rosak mampu memberi kebinasaan. Kekayaan yang melimpah akan dirasa ketidaktenteraman. Ilmu yang tinggi dirasa sebagai bebanan.

Didikan

Membersihkan hati perlu dididik dan dilatih. Tidak akan datang tanpa usaha yang berterusan. Yang penting ia perlulah berlandaskan Islam. Iman dan taqwa mampu dipupuk melalui proses pendidikan yang berterusan. Dekatkanlah hati kita dengan Allah swt, pasti ketenangan akan hadir dengan sendiri.

Yang hakiki

Dari dalam diri kitalah yang mencorakkan luaran diri kita. Baik di dalam, baiklah di luar. Terserlahlah kebahagiaan melalui raut wajah yang bersinar-sinar dengan keimanan. Walau diri tidak dianugerahkan raut wajah yang cantik oleh pandangan mata manusia, namun sinar cahaya iman itu mampu menutup segala aset-aset yang hanya sementara. Dan yang paling penting, pandangan mata Allah swt lebih bermakna dari pandangan mata manusia.

Alangkah bahagianya hidup jika diri kita dan orang-orang di sekeliling kita sentiasa merasai nikmat kebahagiaan itu...

"Kebahagiaan itu
adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dihayati,
adalah kelapangan dada kerana prinsip yang menjadi pedoman hidup,
dan ketenangan hati kerana kebaikan semata di sekeliling kita"
petikan dari buku La Tahzan oleh Dr Aidh al-Qarni.


Friday, June 25, 2010

Tidur Selepas Asar




Assalamualaikum wbt,

Teringat dulu kisah-kisah semasa di tahun satu perubatan di sini. Kelas boleh dikatakan padat bermula jam 8pagi hingga ke 5 petang selangi dengan beberapa selang waktu rehat selama 15 minit setiapnya.

Dan kebiasaannya, pulang ke rumah akan terus tergolek di atas katil selama sejam, recharge energy untuk waktu yang efektif malamnya bagi mengulangkaji.

Baru-baru ni timbul persoalan mengenai tidur selepas asar hukumnya makruh, boleh jadi gila dan sebagainya. Mungkin ada kesannya dari segi kajian perubatan yang saya sendiri tidak tahu. Mungkin rakan-rakan pembaca boleh berkongsi sekiranya ada maklumat.

Terdapat satu kata-kata yang selama ini ramai diantara kita yang menganggapnya sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan. Ianya ialah hadis palsu. Ini seperti apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu al-Jauzi, Al-Sayuthi dan juga Al-Zahabi.

((من نام بعد العصر ، فاختُلس عقله، فلا يلومنَّ إلا نفسه)).

Barangsiapa yang tidur selepas Asar maka akan terganggulah akalnya. Maka
janganlah dia mencela melainkan kepada dirinya sendiri.

(Ibnu al-Jauzi di al-Maudhu'aat, al-Sayuthi di al-la'ali al-Masnu'ah & al-Zahabi di Tartib al-Maudhu'aat)(1)

Mungkin tidur selepas asar ada keburukan sekiranya boleh dibuktikan, akan tetapi tiada hadis sahih menyebutkan tentang hal ini. Jadi, hati-hati lah kita pada masa akan datang dalam menyandarkan sesuatu kepada nabi SAW.

Rujukan:
(1): 100 HADIS DHA'IF DAN PALSU YANG MASYHUR DI KALANGAN MASYARAKAT dihimpunkan oleh Syeikh Ihsan bin Muhamad bin 'Ayis al-Utaibi.

Friday, June 18, 2010

Syarat Syahadah






Assalamualaikum wbt,

Entah kenapa, tiba-tiba tergerak hati untuk menyumbang seposen dua dalam blog ni. Moga ianya bermanfaat walaupun sikit.

iALLAH saya ingin berkongsi sedikit berkenaan syahadah kita..

Dalam huraian hadis ke 3 daripada hadis 40 Imam Nawawi, syahadah mempunyai 7 syarat (Dr Jamal Ahmed Badi). Di antaranya yang sebutkan ialah PENGETAHUAN yang membolehkan pengucap syahadah memahami apa maksud disebalik ucapan syahadah tersebut.

Timbul difikiran saya akan hakikat sebahagian besar muslim pada hari ini. Adakah mereka benar-benar memahami makna sebenar di sebalik syahadah mereka, atau hanya sekadar ucapan setiap kali waktu solat dan waktu-waktu lainnya tanpa diikuti dengan penghayatan.

Sekiranya benar memahami maksudnya, mana mungkin mereka ingkar akan suruhan Allah dalam kehidupan seharian? Mengapa boleh terjadi seperti laporan Jabatan Pendaftaran Negara, statistik pada tahun 1999-2003 menunjukkan 44% kelahiran anak luar nikah berketurunan Melayu beragama Islam.ish ish ish..sedihnya betul mendengarnya..


Sekiranya tidak faham, apakah sah ucapan syahadahnya?

Saya terus-menerus memikirkannya, pada masa yang sama memuhasabah diri yang sangat serba kekurangan ini..

Wallahua'lam.

Sunday, June 6, 2010

Tanpa Usaha, Tiada Ajaib

Kata Imam Ghazali Rahimahullah :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibadahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaitan dan tipuannya’. - [Bidayatul Hidayah]

"Ya Allah, berilah kami kefahaman dalam agama",bisik hati kecil ini sebelum memulakan pembacaan. Tak kisahlah samada buku yang dibaca itu buku medik atau buku agama. Doa di permulaan sangat mempengaruhi diri dalam memotivasikan diri dan juga menentukan niat sepanjang pembacaan.

Semoga ilmu-ilmu yang dipelajari ini diberkati olehNya. Bak kata status YM sahabatku Zilla, "Hargailah segala proses dan usaha tanpa memikirkan hasilnya". Yang penting kita tahu, Allah menghitung segala usaha-usaha. Segala usaha itu dihitung berdasarkan niat.

Tanpa usaha, keajaiban tidak akan berlaku.

Dalam sibuk menelaah, yang penting Al-Quran tetap pilihan utama setiap hari kita. InsyAllah.

Thursday, April 29, 2010

Bahagia umpama kupu-kupu



Pahit

Masa lampau selalu sahaja dikenang. Sungguh indah mengenangkan masa lalu yang sangat membahagiakan. Namun, ada sahaja selingan-selingan masa lalu yang pahit. Kekadang masa lalu yang pahit inilah yang paling menghantui fikiran.

Mudah saja kita terpaku pada kisah yang telah lama berlalu sehingga minda membeku seperti sudah tidak ada jalan keluar. Suka saja kita merenung masa yang pahit itu. Padahal jika keluar dari kepompong masa lalu yang pahit itu, pasti akan ketemu bahagia.

Sasaran

Mudah sahaja kita merasa tidak puas dengan nikmat yang diberiNya. Bila sudah dapat apa yang kita kehendaki, rasa bahagia datang sementara, selepas itu pasti muncul pula sasaran baru yang ingin kita kecapi. Tidak salah untuk mempunyai target yang berperingkat dalam hidup. Tapi ada yang hidupnya sentiasa rasa cemas kerana risau jika target yang ingin dikecapi tidak kesampaian.

Kupu-kupu

Teringat semasa pergi ke Taman Rama-Rama dahulu kala. Kalau kita nak biar kupu-kupu dekat dengan kita, kita akan duduk dengan tenang tanpa bergerak, kupu-kupu sendiri yang datang dekat. Tapi jika kita bergerak dan berkejar-kejar mengejar kupu-kupu yang cantik itu, sampai ke sudah pasti tidak tercapai apa yang dikejar itu.

Begitu jualah kebahagiaan.

Bak kata seorang penulis buku, West Wisdom to Healing World " Kebahagiaan umpama kupu-kupu, apabila kita kejar, selalu terbang dan berada di luar jangkauan. Tetapi apabila kita tetap tenang ia akan hinggap pada kita".

Bak kata Dr Aidh Al-Qarni dalam bukunya yang popular, La Tahzan, beliau ada mengungkapkan " Carilah kebahagiaan dalam diri sendiri, bukan di sekitar dan diluar diri anda"

Bagaimana nak cari kebahagiaan dalam diri sendiri yer? ... Mungkin ada yang dah boleh berfikir...jika tak, insyAllah akan ada penyambungan di 'next post'...

" smile always"